Kepada mereka yang mengenali saya, saya kurang gemar memesan makanan secara penghantaran. Selain masa penghantaran yang tidak menentu, mendapat makanan yang telah sejuk dan lembik memanglah menjengkelkan. Lebih-lebih lagi jika makanan itu adalah dari KFC.
Kisah Sepenuhnya
Pada pendapat saya, makanan KFC adalah antara makanan yang perlu dinikmati di restauran, segar, dan sementara panas. Bagi saya juga ia tidak sesuai dipesan melalui penghantaran atau dimakan di atas kereta dalam perjalanan ke satu destinasi. Antara sebab saya berpendapat demikian adalah:
- Jenis makanan (Ayam goreng, kentang putar, colslaw dsb.) tidak sesuai dimakan semasa bergerak.
- Bungkusannya, walaupun telah ditambahbaik, tidak membantu dalam proses makan semasa bergerak.
- Makanan ini, jika lambat dihantar akan menjadi lembap dan tidak sedap dimakan. Ia berkaitan juga dengan cara pembungkusan.
- menggunakan kaedah penghantaran, tiada jaminan anda rumah pertama yang akan dihantar makanannya. Lebih terkebawah nama anda dalam senarai penghantaran, kemungkinan untuk mendapat makanan sejuk lebih tinggi. Tidak mahu menyalahkan penghantar, tetapi memang ia satu tugas yang sukar (menjamin penghantaran yang cepat).
Satu cara untuk mengatasi masalah ini adalah dengan datang sendiri ke cawangan KFC terdekat, beli dan terus pulang ke rumah untuk makan. Biasanya inilah yang saya lakukan memandangkan pesananan penghantaran sebelum ini tidak memuaskan langsung.
Tetapi awal tahun ini, KFC telah mengagihkan kupon diskaun penghantaran sebanyak RM15 yang boleh digunakan sebanyak 3 kali sehingga penghujung bulan ini. Kebetulan pula, satu cawangan KFC baru sahaja dibuka lebih kurang 500 meter dari rumah saya dan jika saya membuat pesanan, kebarangkalian sangat tinggi saya akan berada di tempat pertama senarai penghantaran.
Jadi saya pun mengambil kesempatan ini untuk mencuba perkhidmatan penghantaran KFC dalam “best case scenario” yang terbentang di hadapan saya sekarang. Dahulunya cawangan terdekat KFC lebih kurang 1KM jauhnya dan berada di tengah-tengah kawasan perniagaan yang sibuk rumah saya bukan dalam laluan yang paling mudah untuk mendapat tempat pertama dalam senarai penghantaran.
Jadi saya pun buatlah pesanan. Masa peghantaran dianggarkan 30minit, tetapi agak terkejut apabila penghantar sampai ke rumah dalam masa 15 minit sahaja. Sangat bagus. Tetapi bagaimanakah keadaan makanan yang dihantar?
Jika dilihat cara pembungkusannya menggunakan plastik sebegini akan menyebabkan wap air terperangkap dan menyumbang kepada kelembapan makanan. Namun, mujurlah makanan cepat dihantar, jadi semua makanan yang diterima dalam keadaan sangat memuaskan, seolah saya sendiri pergi ke KFC untuk membawa pulang makanan.
Secara keseluruhannya, kali ini saya berpuashati dengan makanan yang dihantar. Namun, semuanya kerana cawangan baru KFC yang dibuka berhampiran rumah saya. Jika tidak, saya tidak akan mempertimbangkan perkhidmatan penghantaran KFC.
Kesimpulannya adalah KFC merupakan antara makanan yang sangat sesetif kepada masa penghantaran. Oleh itu sekiranya anda ingin menggunakan perkhidmatan penghantaran KFC, gunakannya hanya jika terdapat cawangan sangat dekat dengan rumah anda.